Followers

Wednesday 27 November 2013

:: PANTANG BERKAWAN ::

Status hanya kawan, tapi lagak hubungan macam orang bercinta. Itulah realitinya dalam banyak hubungan berkawan lebih-lebih lagi kalau berlainan jantina. Selalu lupa akan hubungan itu tidak lebih dari seorang kawan.

Perasaan kecewa dan jauh hati selalunya berlaku apabila salah seorang itu menemui cinta­nya. Mulalah timbul rasa cemburu kerana si dia sudah meletak kekasih mereka keutamaan dan sahabat itu kemudiannya.

Perlukah ada rasa begitu dan apa pula patut kita lakukan dalam kawan kita berperasaan begitu sedangkan dia hanya kawan saja? 



JANGAN ADA RASA CEMBURU ATAU IRI HATI


Rasanya isu kawan timbul rasa cemburu atau rasa dipinggirkan bukan perkara pelik kerana ia sesuatu yang normal pada kebanyakan kita. Maklumlah apabila sudah akrab dan ‘sekepala’, sudah tentu ada komitmen secara tidak langsung.

Tapi cemburu itu ada batasnya kerana sejauh mana perasaan sedih kita terhadapnya, dia hanya kawan dan tiada perasaan istimewa lebih daripada seorang kawan.

Salah satu cara terbaik untuk menjaga per­sahabatan adalah untuk sentiasa berhubung walau sibuk mana sekalipun. Bukan hanya sekadar berhubung dengan kekasih, kita juga perlu sentiasa menghubungi sahabat. Sekurang-kurangnya seminggu sekali kalau terlalu sibuk. 

Bukan itu saja, kita juga boleh sentiasa memberi reaksi kepada status atau ‘tweet’nya di media sosial untuk membuktikan yang kita masih ada dekat dengannya walaupun jarang bertemu. 

Tapi awas, hati-hati dengan setiap perkataan kita agar tidak melukakan hati sahabat kerana faktanya, jika kita jarang bertemu, rasa sensitif itu lebih tebal. 

Istilah kawan hanya cukup sekadar kawan yang sudi mendengar dan menemani kita di kala susah dan senang. 

Rasa cemburu atau iri hati kepada kawan baik adalah sesuatu yang tidak patut berlaku kerana sebagai teman sejati, kita sepatutnya berasa gembira melihat kebahagiaannya. Itu yang patut berlaku. 

Kawan baik kita adalah teman setia yang menemani untuk belajar bersama atau menguruskan hal peribadi jika kita keseorangan. Kita makan bersama dan dia adalah tempat untuk kita meluahkan perasaan baik sedih ataupun gembira. 

Namun jika kawan kita sudah bertemu teman lelaki atau kawan lain yang mungkin lebih serasi dengannya, itu hak dia dan tidak patut untuk kita rasa marah kerana persahabatan itu tidak sekali terganggu. 

Apa yang penting adalah kejujuran dan ikhlas dalam berkawan. Walau kawan baik ­sudah ada teman lelaki atau kumpulan kawan lain, dia akan tetap cari kita untuk hal tertentu dan hubungan kita masih berjalan seperti ­biasa. 

Jika dia sudah tidak lagi boleh menemani kita untuk belajar atau makan, kita masih boleh pergi sendirian dan tidak perlu untuk timbul rasa sedih apatah lagi cemburu dengannya kerana itu hak individu.



BUKAN MEMILIKI


Walau rapat macam mana sekalipun kita masih perlu hormati hak dan privasinya. Perlu diingat, kita bukan memiliki kawan kita sebaliknya dia hanya sekadar kawan saja. 

Jadi, jangan terlalu berkecil hati jika dia minta ruang dan membuat keputusan mengenai dirinya tanpa merujuk kepada kita. Hormatilah hak dan privasinya, barulah hubungan kita itu akan berkekalan. 

Sememangnya menghormati hak teman baik dengan tidak perlu terlalu sensitif atau emosi apabila terperangkap dalam masalah persahabatan. 

Golongan perempuan lebih sensitif dan paling ramai berdepan masalah sebegini. Maklumlah sebelum ini ke mana saja bersama dan tidak pernah berenggang. Tapi apabila salah seorang sudah memiliki kekasih, dia sudah tentu akan kurang bersama kawan-kawannya dan lebih bersama kekasih hati. 

Justeru timbul rasa kononnya terpinggir dan kawan sudah mula lupa diri sedangkan itu perkara normal untuk seseorang itu melebihkan kekasihnya berbanding kawan.  

Apa yang harus dilakukan adalah memberi penjelasan dan menerangkan kedudukan sebenar, komitmen dalam persahabatan dan tanggungjawab kepada kekasih hati. Insya-Allah kawan kita itu akan faham jika dia benar-benar ikhlas berkawan. 


JANGAN SEKALI MERAMPAS MILIKNYA


Ini banyak berlaku dalam remaja hari ini yang mana mereka sanggup putus kawan semata-mata ada yang sudah merampas dalam diam. 

Tidak kiralah sama ada muda mahupun tua. Jangan sesekali kita cuba merampas miliknya terutama kekasihnya. Percayalah, sekali kita lakukan kesilapan ini pasti dia akan ingat dan sukar untuk maafkan kita.


JANGAN MENGHINA KAWAN BAIK KITA


Tidak kira sebesar mana sekalipun kita bergaduh, jangan sesekali cuba menghina sahabat walaupun dia banyak kekurangan. 

Kadang-kadang bila terlampau marah, kita tidak akan sedar apa yang kita katakan tapi bila kita mula menghina, nampak sangat selama ini kita hanya bermuka-muka saja dengannya. 

Sahabat itu ibarat keluarga dan perlu dipelihara hubungan itu sebaiknya. Jika sahabat kita itu banyak kekurangan, kita sebagai teman paling rapat seharusnya melengkapi apa yang patutnya bukannya lagi memandang rendah padanya. Begitu juga sebaliknya. 

Barulah ikatan persahabatan itu semakin kukuh. Sahabat itu saling melengkapi dan tidak hanya pada kekasih semata-mata. 

Justeru tidak hairan jika ada yang berkecil hati atau sedih jika terasa dirinya terabai kerana kawan baiknya itu sudah mempunyai kekasih. Rasa itu normal dan turut berlaku kepada lelaki atau perempuan. Bagaimanapun apa yang penting adalah komunikasi. Tidak salah kalau kita berterus-terang dengan kawan baik sendiri jika ada yang tak puas hati.

Paling penting, pantang dalam bersahabat adalah jangan mengungkit segala pengorbanan yang pernah kita lakukan kepada kawan baik. Ini akan menunjukkan betapa tidak ikhlas pengorbanan kita sebelum ini. 

Pendek kata, hubungan persahabatan itu indah jika kesemua pihak punya keserasian dan persefahaman menyeluruh. Biar apa dugaan atau halangan yang datang, kalau kedua-dua pihak ada rasa ikhlas dan jujur, persahabatan itu akan kekal. 

Lebih menarik kalau sahabat kita menjadi pengapit di majlis perkahwinan kita nanti. (^_^)


No comments:

Post a Comment